Ulangtahun kelahiran tahun ini adalah yang amat bermakna pada CikSma, mungkin sebab usia yang sedang menginjak lewat 30-an. Orang kata umur melebihi 36 tahun ke atas akan didatangi dengan pelbagai ujian dari segi kekeluargaan, kesihatan, kewangan, kerjaya, pasangan, kecurangan, masalah anak-anak, ibu bapa, penyakit, pengkhianatan, kawan-kawan dan sebagainya. Tapi CikSma percaya setiap ujian kepada setiap orang datang dengan pelbagai cara dan pada waktu yang sesuai dengan kemahuanNya. Allah lebih mengetahui apa yang lebih baik aturannya kepada makhluk-makhlukNya.
CikSma menghadapi dugaan paling sukar pada usia perkahwinan yang belum mencecah 5 tahun pada usia 32 tahun. Penggal pertama alam Perkahwinan ternyata benar bagai dikata dan dinasihatkan orang sekeliling yang penuh dengan cabaran yang maha hebat. Jujurnya, pada ketika itu CikSma hadapi dugaan yang cukup hebat dalam mempertahankan rumahtangga daripada masalah gangguan orang ketiga, pengkhianatan dan menjadi mangsa penganiayaan kawan-kawan rapat dan juga rakan sekerja, malah kemuncaknya CikSma jatuh sakit akibat pembengkakan ovari di dalam rahim. Ketika itu CikSma sedar bagaimana kuat CikSma berusaha mempertahankan segala yang ada, sehingga kemurungan, CikSma lupa Allah adalah lebih berkuasa di atas segala-galanya.
Saat itu CikSma tukar mindset dan kembali kepada fitrah. Tahajut, berzikir, memperbanyakkan membaca buku-buku motivasi, mendengar youtube inspirasi, hadiri seminar rumahtangga dan parenting secara online dan hentikan mendengar lagu-lagu sedih. Kita harus kuat untuk dapatkan semangat kita semula kerana tiada sesiapa yang mampu ubah diri kita selain diri kita sendiri. 'Live well is the best revenge' itulah pegangan CikSma pada ketika itu. Tapi CikSma tak nak hidup gembira untuk orang lain, CikSma nak pulih demi diri CikSma sendiri. Dari situ CikSma belajar erti hidup yang paling asas iaitu syukur dan redha.
Belajar didik hati untuk redha kerana perkara terburuk di dalam hidup kita itu telah pun dan sedang terjadi. Terima! Sayangi diri sendiri daripada terus terseksa dengan menafikan bahawa kita juga penyumbang kepada setiap masalah yang terjadi. Syukur kerana Allah berikan kita dugaan itu supaya kita belajar dari hikmahnya. Kecurangan, CikSma belajar erti menghargai pasangan dengan melengkapi kemahuannya yang mahukan lebih masa dengan kita, bukannya sibuk dengan kerjaya sehingga di menjadi terpaksa meminta perhatian orang lain. Begitu juga dengan pengkhianatan kawan-kawan, CikSma sedar bahawa Allah telah menukarkan kawan-kawan baru yang lebih ikhlas bersahabat dengan kita.
Hari ini, walaupun peristiwa hitam itu telah 3 tahun berlalu, CikSma gembira kerana telah merasai manisnya dugaan itu di awal usia. Allah duga kita kerana Allah sayang kita!
No comments:
Post a Comment