Sunday, March 8, 2020

Kematian yang dicemburui : Abam Bocey

Sudah lama CikSma terpanggil untuk berkongsi berkenaan seorang ikon pelawak tanah air iaitu Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Ridzuan yang telah menemui penciptaNya pada 10 Februari 2020. Arwah meninggal dunia pada usia 32 tahun dalam tidur. 

CikSma meminati Bocey kerana semangat juang mereka di atas pentas MLM #gemukisawesome Mereka berkarya dengan memberikan 100% komitmen sehabis baik. CikSma akan tertunggu-tunggu watak yang akan dibawanya setiap kali di pentas disokong oleh teman pentasnya Fad dan Achey. Sungguhpun kadang-kala wataknya kecil tapi ia sangat memberikan impak walaupun sekadar membuat mimik muka. 

Setelah beliau meninggal dunia, rasa rindu nak tengok aksi beliau yang comel di pentas. Semacam tidak percaya apabila perkhabaran pagi tersebut dibuat oleh Fad di Instagram akan pemergiannya, diikuti oleh Achey. Ingatkan kematiannya hanyalah kematian yang lazim tapi ia meninggalkan impak yang tidak terucap dengan kata-kata apabila pengebumian beliau menjadi fenomena kepada negara. Semua orang yang jauh dan yang dekat dari pelosok negeri ribuan membanjiri rumah, masjid dan kubur beliau. Begitu sekali Allah mengangkat darjat dan memuliakan beliau. Sekalipun selepas beberapa hari beliau dikebumikan, masih berduyun-duyun orang menziarahi kubur beliau.

Semenjak dari hari itu CikSma menyelongkar YouTube mencari-cari apakah keistimewaan insan ini? Allahu Akbar... CikSma celik kejap dari hal duniawi ini. Dalam meniti kemasyuran dalam industri seni, beliau tidak pernah lupa menyediakan bekalan matinya. Setiap video arwah dalam apa jua rancangan pasti akan menyentuh bab keagamaan, secara spontan keikhlasan itu menyentuh hati dan menitiskan air mata CikSma.

APABILA MATI SESEORANG ANAK ADAM, MAKA PUTUSLAH AMALNYA MELAINKAN 3 PERKARA, IAITU SEDEKAH JARIAH, ILMU BERMANFAAT KEPADA ORANG LAIN DAN ANAK SOLEH YANG MENDOAKAN.

1. MENJAGA KERAMAT HIDUP

Beliau paling rapat dengan ibunya dari kecil tidak pernah berpisah sekalipun sehingga berkahwin dan mempunyai anak. Beliau menjaga ibunya seperti menatang minyak yang penuh, tidak pernah melawan, menyantuni ibunya penuh sabar dan paling terkesan adalah rasa tanggungjawabnya dalam menjaga kebajikan ibunya sepanjang masa. Menghormati ibu bapa adalah kunci keberkatan hidup. 

Dalam surah al-Isra' ayat 23, Allah SWT telah berfirman yang maksudnya: "Dan TuhanMu telah memerintahkan janganlah kamu semua memyembah melainkan Dia dan berbuat baiklah kepada ibu bapa." Ayat itu secara jelas menyatakan perintah Allah agar berbuat baik kepada ibu-bapa.   

2. BERSEDEKAH KEPADA ANAK YATIM DAN PUSAT TAHFIZ

Bersedekah dalam erti kata sebenar adalah tangan kanan memberi, tanpa pengetahuan si tangan kiri. Lazimnya manusia hari ini mementingkan pengiktirafan dan sanjungan masyarakat dalam membuat kebajikan kepada yang memerlukan. CikSma tidak menyalahkan sesiapa kerana setiap orang ada pandangan dan agenda tersendiri, ada yang beri alasan memberi berdasarkan niat. Tapi CikSma lebih suka mengambil sikap apapun kebaikan yang kita buat, biarlah itu menjadi rahsia kita dengan Allah SWT. Kalau boleh tiada mata manusia yang nampak lebih bagus. Itulah yang terjadi kepada arwah. Setiap kebaikannya dalam mengerjakan amal jariah kepada orang sekeliling tidak pernah diwar-warkan. Kita hanya mengetahui hanya selepas arwah pergi, satu demi satu cerita sumbangannya meniti dari bibir ke bibir.

3. MENDAHULUKAN ADIK BERADIK DAN AHLI KELUARGA.

Adik beradik seibu sebapa atau bertiri sekalipun, ia tetap darah daging kita walaupun sejahat manapun mereka. Siapa lagi yang patut membantu ahli keluarga sendiri kalau bukan kita. Betullah kata arwah dalam satu temuramah di mana kalau diperhatikan di luar sana, kebanyakkan gelandangan terjadi kerana mereka tidak dapat bantuan sewajarnya oleh ahli keluarga mereka. Sokongan satu sama lain antara adik-beradik itu penting dapat merapatkan ukhwah. Orang yang terdekat adalah lebih afdal dibantu terlebih dahulu sebelum nak bantu orang lain yang tiada talian persaudaraan dengan kita. 

4. SUKAKAN ILMU DAN JIHAD KE ARAH DAKWAH

Memberikan sumbangan kepada pembangunan tahfiz dan menaja para pendakwah dalam perjuangan dakwah mereka. Sumbangan tidak semestinya dalam wang ringgit, tapi mungkin dalam bentuk tenaga dan masa kita memberikan sokongan. Setiap sedekah dan jihad kita akan memberikan ganjaran untuk kita esok di akhirat. Iman manusia adalah nipis. Jadilah manusia yang cintakan ilmu lebih-lebih lagi ilmu agama kerana kalau hendak dibandingkan ilmu yang kita ada di dunia ini hanyalah seperti buih di lautan. Sentiasa belajar dan meningkatkan ilmu pengetahuan walau dalam apapun bidang.

5. SENTIASA BERBUAT BAIK PADA SEMUA ORANG

Hashtag arwah #kitabaikramaisayang betul-betul meninggalkan kesan dan impak pada CikSma. Berbuat baiklah dengan semua orang sekalipun kita disakiti. Jangan simpan sikap dendam di dalam hati kerana ia hanya merosakkan kesucian hati kita dan menyukarkan hidayah dari Allah. Anggaplah setiap kejahatan daripada seseorang yang menyakiti kita itu sebagai ujian dan amaran daripada Allah dalam menguji hati kita kerana syurga itu sangat mahal!

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya "Ambillah ikhtibar daripada orang yang telah mati di kalangan kamu."

Alfatihah untuk arwah Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Ridzuan.

No comments:

Post a Comment

ANAKKU GDD

 Global Development Delayed  Sungguh aku hilang kesabaran dengan si abang. Dia tidak faham apa yang aku cakapkan, langsung tiada fokus dan m...