Sunday, June 7, 2020

Kanser Ovari

14 May 2018  |   Sunway Medical Centre, Petaling Jaya.


Haid yang berpanjangan sehingga hampir 3 bulan. Kalau berhenti pun dalam tempoh seminggu kemudian berdarah semula. Awalnya memang tidak syak apa-apa setelah menjalani operasi cuci rahim beberapa bulan sebelumnya di Hospital Assunta Petaling Jayaa. Doktor juga telah mengeluarkan surat pengesahan menyatakan bahawa tiada jangkitan atau masalah kandungan luar Rahim dan keguguran. Syukur..


Pada bulan April, sempatlah berjalan ke Singapore Bersama-sama dengan bekas rakan sekerja syarikat lama. Memang pada awalnya hendak batalkan tetapi memandangkan kasihan pula pada 2 orang rakan yang sungguh-sungguh menyediakan segala persiapan tempahan tempat tinggal dan itineri perjalanan, CikSma tawakal pada perlindungan Allah SWT. Kawan-kawan pun telah dimaklumkan awal akan masalah kesihatan CikSma dan sepanjang percutian memang mereka berdua mengambil berat samada CikSma larat atau tidak. Ketika ini semua dipermudahkan.


Sehinggalah pada 11 Mei sewaktu kami sekeluarga bercuti ke Sepang Avani Resort, CikSma mengalami kesakitan yang sangat kuat sehingga gagal menggerakan pinggang ke bawah, sakit di bahagian kiri dan kanan abdomen dan tambahan ketika itu haid masih tidak berhenti berdarah. Sepulangnya dari Resort terus ke Hospital Sime Darby Medical Centre disyaki masalah batu karang dan apendiks. Disebabkan ianya jatuh pada hujung minggu, maka kami terpaksa diminta kembali semula pada Isnin berikutnya untuk jalani pemeriksaan Ultra-Sound. Akhirnya, kami pergi ke Sunway Medical Centre memandangkan lebih dekat dengan kawasan rumah. Setelah ujian Ultra-Sound dibuat, sekali lagi CikSma diminta menjalani ujian MRI. Kemudian CikSma diminta bertemu dengan Doktor Gynae di mana inilah titik kepada kemuncak kesakitan yang mengubah diri dan mindset CikSma.


Selain dari masalah Apendiks yang perlu menjalani pembedahan segera, doktor mengesyaki bahawa ada ketumbuhan disyaki kanser di dalam ovari kanan CikSma yang mana disarankan untuk CikSma jalani pembedahan membuang satu ovari bagi mengelakkan kanser merebak! Allahuakbar.. Dugaan apakah ini ya Allah! Kanser?? Perkhabaran itu seperti petir menyambar hati, hancur luluh. Suami terkejut besar mendengar berita yang disampaikan. Setelah berbincang kami sepakat untuk menjalani pembedahan pada hari berkenaan juga sebelum ketumbuhan tersebut merebak. CikSma akan bakal hanya berharap pada satu ovari sahaja untuk mendapatkan anak...


2 pembedahan selamat dilakukan oleh dua orang doktor pakar. CikSma tersedar di dalam wad dengan keadaan yang sangat sakit kerana kehabisan  ubat bius. Luka perut ceaser ditoreh semula, kanan pula ditebuk apendiks. Berita baiknya, doktor mengesahkan bahawa ketumbuhan yang dianalisis bukanlah kanser sebaliknya adalah jangkitan kuman yang mengakibatkan ovari kanan membengkak dan akhirnya burst bernanah. Namun, berita pahitnya seminggu berikutnya adalah kebergantungan kepada ubat tahan sakit dan proses drip ubat yang amat memedihkan urat saraf, boleh rasa seperti urat terbakar selama seminggu! Bagaimana kita rasa kuat, ubat itu lebih kuat dan menyeksakan. Setiap kali nak masuk ubat, CikSma hanya mampu menangis dan berzikir sehingga tertidur. Begitulah yang terjadi selama seminggu yang mana setiap kali ubat akan dimasukkan sebanyak 3-4 kali sehari. Rayuan kepada doktor untuk menghentikan ubat antibiotik itu juga gagal. Tanpa ubat tersebut, tidak dapat mematikan kuman-kuman yang masih ada. 


Ketika itu, setiap kesakitan dan kebergantungan CikSma kepada Allah SWT menekadkan CikSma untuk membuat keputusan terbesar di dalam hidup iaitu berhenti bekerja. Jujurnya, CikSma sangat sayangkan pekerjaan itu walaupun ia penuh dengan tekanan. Namun hakikatnya, tiada guna wang ringgit dan kerjaya dengan pangkat dan gaji yang besar kerana kesihatan itu lebih bernilai daripada segala-galanya. CikSma hanya fikirkan mahu menjalani hidup yang normal dan sihat semula. That's it! 

No comments:

Post a Comment

ANAKKU GDD

 Global Development Delayed  Sungguh aku hilang kesabaran dengan si abang. Dia tidak faham apa yang aku cakapkan, langsung tiada fokus dan m...