Pembahagian masa untuk orang-orang tersayang amat penting bagi memastikan bahawa kita mengambil berat soal memberi perhatian dan kasih sayang kepada mereka. Ukhwah dan silaturahim dititikberatkan seperti mana yang telah disebut di dalam Al-Quran.
1. Masa untuk anak-anak
Ketika bayi dan menginjak remaja adalah masa yang amat berharga untuk menyirami anak-anak kita sepenuh kasih sayang mengikut tahap umur mereka. Berikan anak-anak kasih sayang dan manjakan mereka, apabila menginjak remaja maka berkawanlah dengan mereka. Keluarga yang kurang memberikan perhatian pada anak-anak cenderung menyumbang kepada masalah tekanan emosi kepada kanak-kanak. Ikatkan satu perhubungan yang rapat antara ibu bapa dan anak-anak dengan sentiasa berada di sisi mereka dan menyokong mereka.
2. Masa untuk suami
Sesibuk manapun seorang isteri menjalankan peranan ibu kepada anak-anak, jangan lupakan bahawa kita ada 'anak kecil' yang lebih memerlukan masa kita iaitu suami. Di rumah, kita perlu menyediakan sedikit masa untuk masa berdua bersama suami bukan sekadar hanya di katil. Disiplinkan masa tidur anak-anak supaya pada waktu malam suami ada sedikit ruang untuk dia duduk dan melepaskan keluh-kesahnya kepada kita, menjadi pendengar yang setia dan pemotivasi hidupnya. Luangkan masa berduaan menonton movie atau bercuti berdua supaya cinta bertambah subur.
3. Masa untuk kedua ibu bapa dan mentua
Hujung minggu adalah masa yang sesuai untuk kita meluangkan masa dengan ibu bapa supaya mereka tidak merasa jauh dengan kita setelah kita berumahtangga. Baik ibu bapa sendiri mahupun mentua perlulah dilayan seadilnya. Jika sebulan 2 kali balik ke rumah ibu bapa sendiri, sebulan 2 kali juga harus balik melawat mentua sendiri. Warga tua biasanya mudah berkecil hati. Mungkin nampak sedikit membebankan apatah lagi mereka tinggal jauh dari kita, mungkin perjalanan mengambil masa beberapa jam, tetapi perhatikanlah, melawat kedua ibu-bapa akan memurahkan rezeki kita.
4. Masa untuk adik-beradik
Apabila masing-masing semua sudah berumahtangga dan mempunyai kehidupan sendiri bersama suami/isteri dan anak masing-masing, sesekali ambillah masa untuk mengadakan Family day. Selain ibu bapa, adik beradik adalah insan yang paling rapat dengan kita. Ambil masa supaya ipar duai biras, anak-anak buah dan sepupu sepapat saling mengenali satu sama lain. Sentiasa menjaga ukhwah antara adik-beradik, sebarang perselisihan antara ipar-biras itu perkara normal. Jangan disebabkan orang luar, kita pula yang bergaduh dengan darah daging sendiri. Elakkan saling bergosip dan bersikap berpuak-puak.
5. Masa untuk saudara-mara
Ia merangkumi mak dan bapa saudara, datuk dan nenek mahupun sepupu kedua-dua belah keluarga kita dan suami. Sudah menjadi trend zaman kini apabila kebanyakkan keluarga besar menjadi whatsapp group sebagai penyambung tali persaudaraan kerana untuk keluarga yang semakin membesar, rata-rata sedikit sukar untuk melakukan semua aktiviti kekeluarga bersama-sama pada satu-satu masa. Tetapi jika diberi kesempatan, jangan dilepaskan peluang tersebut. Mak dan pak sedara seperti mak ayah kita sendiri, itulah ukhwah yang paling kena dipanjangkan apatah lagi setelah kehilangan ibu ayah kita.